21
Jul
09

PENUBUHAN PAS: MUSLIHAT MERDEKA

Siri 4 SOROTAN SEJARAH PAS DAN KEMERDEKAAN

Oleh : MOHD FADLI GHANI
Pengarah Arkib dan Perpustakaan Yusof Rawa

“Kemerdekaan bangsa dan nusa sepenuhnya belum lagi bererti tercapainya cita-cita PAS dan belumlah dihitungkan telah merdeka dengan sepenuhnya, melainkan setelah berjalan hukum-hukum Islam pada seseorang, masyarakat dan negara barulah tercapai kemerdekaan yang dicita-citakan oleh PAS” .

Penubuhan PAS yang berlaku pada 23 Ogos 1951 di dalam persidangan ulamak yang dianjurkan oleh Umno bukanlah suatu yang aneh. Pertama, kerana para ulamak yang sekian lama berjuang untuk menegakkan kemerdekaan terpaksa memasuki Bahagian Agama Umno sebagai satu-satunya wasilah untuk mereka bergerak selepas lumpuhnya Hizbul Muslimin pada Julai 1948. Kedua, para ulamak telah lama memperkatakan keperluan mereka mempunyai organisasi sendiri yang bebas daripada pengaruh mana-mana pihak termasuk Umno dan hal ini diluahkan oleh Haji Ahmad Fuad melalui tulisannya, “Ulama belum bersatu dan tidak punya persatuan” . Ketiga, Umno sendiri sengaja membenarkan ulamak menubuhkan persatuan yang menjadi sayap Umno sebagai salah satu strategi politiknya, khususnya untuk menarik sokongan orang Melayu kepada Umno. Maka para ulamak yang mempunyai kesedaran terhadap perjuangan kemerdekaan ini telah menggunakan peluang yang dibuka oleh Umno untuk membolehkan mereka menubuhkan persatuan mereka sendiri. Benar kata Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor, “PAS tidak ditubuhkan oleh Umno, tetapi oleh ahli PAS yang berada dalam Umno!”.

Tujuan penubuhan PAS ketika ia ditubuhkan langsung tidak menyebut soal merdeka. PAS menggariskan empat tujuannya iaitu, i) mewujudkan satu perikatan persaudaraan Islam untuk membentuk suatu tenaga bersama bagi menyelenggarakan segala tuntuan-tuntutan agama Islam dan siasah yang berdasarkan demokrasi, ii) menumpukan segala ikhtiar dan tenaga bagi menyatukan perlembagaan pentadbiran agama seluruh Malaya, iii) memelihara dan mempertahankan hak-hak kepentingan dan kehormatan agama dan umat Islam, dan iv) bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan siasah yang lain di dalam negeri ini yang dasar dan tujuannya tidak berlawanan dengan ajaran-ajaran agama Islam di dalam mencapai demokrasi, keadilan masyarakat dan peri kemanusiaan . Kerana itu, para pengkaji membuat kesimpulan PAS bukanlah sebuah parti politik asalnya, tetapi hanyalah sayap ulamak Umno iaitu sebuah pertubuhan kebajikan Islam.

Walaupun persoalan menuntut kemerdekaan tidak disebut dalam tujuan PAS, bukan bermakna para ulamak yang bergerak dalam PAS tidak mempunyai cita-cita kemerdekaan, bahkan mereka lebih sedar tentang keperluan kemerdekaan tersebut. Para ulamak sengaja meniadakan perkataan ‘merdeka’ itu kerana Umno sendiri ketika itu masih menolak merdeka. Umno semenjak ditubuhkan pada 1946 tidak pernah membicarakan soal merdeka, sebaliknya Dato’ Onn Jaafar sebagai Ahli Dalam Negeri dalam kabinet Sistem Ahli amat menjaga hubungan Umno dengan British. Menurut Tan Sri A Samad Idris, Pemuda Umno Kuala Pilah yang dipengaruhi oleh PKMM telah mengusulkan supaya slogan “Hidup Melayu” ditukar kepada “Merdeka” dalam persidangan Pemuda Umno pada 1951. Walaupun ia diterima oleh Pemuda Umno, tetapi ditolak oleh Dato’ Onn kerana tidak mahu hubungan Umno dengan British terjejas . Oleh kerana PAS ditubuhkan oleh persidangan ulamak anjuran Umno, berkebetulan pula Haji Ahmad Fuad adalah ‘orang kuat’ Dato’ Onn, maka persoalan kemerdekaan sengaja tidak dibangkitkan dalam menggariskan tujuan penubuhan PAS.

Adakah ini bermakna PAS ditubuhkan tanpa matlamat merdeka atau apa muslihat sebenar ulamak di sebalik penubuhan PAS? Menurut Ustaz Othman Hamzah, salah seorang bekas pemimpin Hizbul Muslimin yang juga pengasas PAS, PAS mempunyai tujuan tersirat ketika ia ditubuhkan. Pertama, kerana para ulamak amat bimbang dan kecewa dengan tindakan-tindakan Umno yang menjalankan aktiviti haram seperti judi, fun fair dan kaberet. Ulamak yang bersidang di Pokok Sena, Seberang Perai pada awal Ogos 1951 memutuskan bahawa loteri anjuran Umno adalah judi dan haram di sisi Islam. Penubuhan persatuan ulamak diharap dapat membendung kegiatan haram ini. Kedua, para ulamak mempunyai pendirian sekiranya pemimpin Umno terus menolak usaha kemerdekaan dan masih bersekongkol dengan British termasuk menganut faham kebangsaan yang terkeluar daripada Islam, maka persatuan ulamak ini akan berpisah daripada Umno untuk memperjuangkan sendiri soal kemerdekaan berdasarkan al-Quran dan Sunnah . Ini menunjukkan bahawa para ulamak mempunyai sikap yang berbeza dengan Dato’ Onn dan Umno dalam soal kemerdekaan dan mereka bersedia memisahkan diri daripada Umno jika Umno tidak memperjuangkan kemerdekaan menurut al-Quran dan Sunnah ini.

Salah seorang ulamak yang menjadi pemimpin tertinggi Umno, Ustaz Ahmad Maliki pernah menerangkan kepada Ustaz Othman Hamzah tentang tujuan sulit di sebalik penubuhan PAS iaitu “sebagai satu pertubuhan kebajikan yang bersatu dalam pertubuhan itu daripada ulamak-ulamak dan orang-orang Islam rakyat Persekutuan berkedudukan di bawah Umno diharap dapat menasihat dan menekan pucuk pimpinan Umno atau sekurang-kurangnya mengurangkan keleluasaan Umno daripada melakukan amal usahanya yang melanggar batas-batas hukum syarak serta adab susila Islam seumpama menganjurkan loteri, mengadakan fun fair dan sebagainya yang mengotorkan Islam” dan tujuan tersirat yang kedua “sebagai badan persediaan bagi gerakan menuntut kemerdekaan jika takdirnya Umno pula diharamkan oleh penjajah Inggeris seperti yang dihadapi oleh PKMM dan Hizbul Muslimin yang berjuang menuntut kemerdekaan…” . Daripada penjelasan Ustaz Ahmad Maliki ini menampakkan bahawa ulamak mempunyai kebimbangan jika Pemuda Umno yang mula bercakap soal merdeka pada 1951 akan menerima nasib seperti parti yang lain, dan ulamak menubuhkan PAS sebagai satu persediaan menghadapi keadaan ini.

Seorang lagi tokoh Hizbul Muslimin yang aktif dalam Bahagian Agama Umno dan menjadi pengasas PAS, Haji Sulaiman Palestin pernah mendedahkan tujuan sebenar PAS ditubuhkan. Menurut Subky Latiff yang diberitahu oleh Haji Sulaiman Palestin bahawa PAS ditubuhkan dengan persetujuan Umno kerana bimbang pihak British menggunakan ulamak-ulamak kerajaan untuk mengeluarkan fatwa mengatakan perjuangan kemerdekaan dan anti British adalah bertentangan dengan Islam kerana British adalah “ulil amri” . Umno memerlukan satu badan ulamak yang kuat dan berpengaruh seperti PAS untuk menjawab fatwa itu jika ia berlaku. Hal ini tidak mustahil kerana di India, tokoh-tokoh agama dipergunakan oleh British bagi menyebarkan dakyah bahawa British Raj (pemerintah British di India) adalah Khalifatullah dan ulil amri yang mesti ditaati oleh umat Islam India. Persatuan ulamak India, Jamaat-i-Ulamak Hind telah berperanan menjawab dan menolak fatwa-fatwa sesat ini, sekaligus merangsang umat Islam di India bangkit menuntut kemerdekaan. Sekali lagi dalam soal ini memperlihatkan bahawa PAS mempunyai matlamat kemerdekaan yang amat jelas dan PAS dijadikan sebagai persediaan untuk menghadapi kemungkinan fatwa-fatwa ulamak kerajaan yang menyekat perjuangan kemerdekaan.

Ternyata sentimen merdeka yang membara di kalangan ulamak dalam PAS tidak dapat dibendung apabila Mesyuarat Agung PAS yang pertama pada 3 Januari 1953 memasukkan “Merdeka” sebagai cogan kata PAS, sebelum “Merdeka” dijadikan seruan PAS pada 1954 apabila “Allahu Akbar” dijadikan cogan kata. Setelah PAS memisah dirinya daripada pengaruh Umno pada 1954, PAS telah meletakkan dalam Undang-undang Tubuhnya tentang tujuan PAS untuk memperjuangkan kemerdekaan. Pindaan Perlembagaan PAS pada 12-14 Ogos 1954 memasukkan matlamat PAS untuk “menjalankan ikhtiar dan langkah dengan tujuan menegakkan kemerdekaan negara dan umat Islam” di samping “memperjuangkan cita-cita Islam di dalam masyarakat dan urusan pemerintahan negara” . Selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 1957, PAS meminda perlembagaannya dengan memasukkan tujuan PAS antara lain untuk “mengawal, mempertahankan dan memperkukuh kemerdekaan negara” . Kemudian penegasan ini diperkemaskan pada 1971 dengan meletakkan “mendukung dan mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara ” sebagai salah satu tujuan perjuangan PAS. Daripada perkembangan ini dapat diungkapkan bahawa PAS semenjak ia ditubuhkan pada 23 Ogos 1951 hingga hari ini bukan sahaja mempunyai matlamat untuk menegakkan kemerdekaan, bahkan berjuang untuk mempertahankan kemerdekaan ini.

Satu persoalan besar yang dibangkitkan oleh PAS dalam memahami makna kemerdekaan pada sudut pandangan PAS ialah kemerdekaan mesti diisi dengan Islam. PAS membuat pendirian bahawa Islam mesti menjadi asas perjuangan kemerdekaan, segala rundingan kemerdekaan mesti meletakkan Islam sebagai landasan pembinaan negara baru ini dan kemerdekaan tanpa perlaksanaan al-Quran dan Sunnah umpama merdeka separuh masak atau tidak merdeka penuh. PAS menyifatkan kemerdekaan berasaskan Perlembagaan Reid adalah “berlawanan dengan dasar-dasar isu perjuangan kita (PAS)” . Kerana itu PAS mendesak Suruhanjaya Reid supaya meletakkan Islam sebagai agama rasmi Tanah Melayu. “On of the implication of the constitutional recognition of the Malay culture and the Malay education is that Islam should be the official religion in this country” . Kata Dr Burhanuddin, “… belumlah dihitungkan telah merdeka dengan sepenuhnya, melainkan setelah berjalan hukum-hukum Islam pada seseorang, masyarakat dan negara barulah tercapai kemerdekaan yang dicita-citakan oleh PAS” . Mesyuarat Agung PAS Keenam pada 24-25 Ogos 1957, iaitu enam hari sebelum merdeka membuat pendirian,

“… maka Persidangan ini setelah mempelajari dan meneliti, nyatalah bahawa nilai merdeka 31 Ogos ini masih kosong daripada cita-cita perjuangan PAS. Maka Persidangan ini sebulat suara berazam dan berikrar akan berjuang terus bagi mengisi kemerdekaan …” .


0 Respon to “PENUBUHAN PAS: MUSLIHAT MERDEKA”



  1. No Comments Yet

Tinggalkan Jawapan




Campaign

Laman

Kategori

Arkib

 

Julai 2009
I S R K J S A
« Jun   Ogo »
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031